guru

gua selalu ulang ayat ini dengan orang-orang sekeliling gua. belajar itu, bukan dari buku sahaja. tapi dari mata yang memerhati, otak yang berfungsi dan hati yang berbudi. gua kurang pasti mereka ambil perhatian atau tidak namun yang penting gua sendiri sedang mengingatkan untuk diri gua sendiri benda yang sama setiap hari.

gua membesar dalam keluarga yang sederhana. nak kata kais pagi makan pagi pun tak. nak kata boleh makan ayam kentaki tiap-tiap hari pun tak boleh. senang cerita gua datang dari keluarga yang sederhana. ayah gua memang jimat orang nya. kata orang, kedekut dia kedekut yang bermakna.

dan ayah gua adalah salah seorang guru dalam hidup gua. atau dalam bahasa budak-budak hip sekarang yang kayuh beskel fiksi, sifu. terlalu banyak benih yang dia taburkan dalam diri gua. tiap pokok yang bercambah mengeluarkan daun-daun yang hijau dan bunga-bunga yang cantik. dan selalu ayah gua ingatkan, oksigen jangan makan sorang-sorang. tapi kongsi dengan orang lain.

mungkin dari situ datang perangai gua yang suka berkongsi.

lagi satu, ayah gua memang suka biar anak-anak dia berdiri sendiri. terbang sendiri pun pernah. gua ingat lagi, masa tu mak ayah gua sibuk dengan kerjaya dan belajar. gua dengan adik gua kena hantar kampung. masa tu gua baru 5 tahun dan adik gua pulak muda setahun dari gua. kami berdua dengan comelnya, dari kuala lumpur ke alor setar naik kapal terbang. yang gua pelik, masa tu kita orang tak nangis tak apa pun. gua ingat gua duduk sebelah makcik cina. makcik tu yang terkejut beruk kiteorang kecik-kecik dah kena balik kampung sendiri-sendiri. haha

dahsyat kan ayah gua.

masa nak masuk darjah satu pun sama. hari pertama dah kena tinggal kat pintu pagar luar. gua ingat lagi, bapak gua suruh cari kelas sendiri. takdahal, gua dengan cita-cita besar nanti darjah enam nak pegang sekolah teruskan melangkah cari kelas sorang-sorang. mak bapak orang lain siap hantar anak dorang pergi pintu  kelas lagi. yang tunggu depan pintu kelas sampai rehat nak makan sekali pun ada. macam-macam manusia.

makin berusia, gua terus belajar berdiri sendiri. macam mana nak bayar yuran sendiri. macam mana nak kena pergi kedai buku beli buku-buku sekolah sendiri. gua rasa sendiri berat buku-buku ilmu yang gua angkat tu sampai terkoyak-koyak plastik. orang lain, hip masa tu. mak bapak datang belikan. paling-paling pun ada driver tak pun bibik diorang belikan.

dan tanpa sedar, jati diri gua semakin lama semakin kuat. gua boleh berdiri bagi pendapat dalam kelas. gua boleh senyum dekat awek darjah 6 masa gua darjah 5. gua boleh buat baik dengan makcik kantin. setiap hari dapat kopok lekor free. gua gemuk hari ni, gua rasa sebab dia lah.

tingkatan satu masak asrama. macam biasa, lagi banyak gua belajar. lagi banyak guru gua jumpa. abang-abang form 5 yang turunkan ilmu-ilmu dunia diorang. semua kejar cita masing-masing masa tu. ada yang sibuk nak jadi skinhead. ada yang nak belajar pasal black metal. gua tak ingat gua kejar apa masa tu tapi gua selalu lepak dengan sorang brader ni tanya pasal vespa. sebab brader tu ride vespa. gua pun layan je dengar citer-citer dia.

dekat sini gua belajar kena pukul. kena buli. kena basuh baju. gua belajar macam mana nak balas dendam. macam mana nak ludah balik air liur dalam minuman senior. macam mana nak kencing dalam baldi baju-baju yang diorang suruh basuh. bukan nak ajar kau orang jadi jahat, cuma nak beritahu bagaimana cara untuk berdiri pada masa-masa ada orang yang konon lebih kuat dari kita dan cuba menjatuhkan kita.

masa gua sekolah mrsm kat perak ni jugak gua kenal dengan seorang yang betul gua anggap guru, ustad rahman. dia ni ketua warden gua masa gua tingkatan dua. gua ingat gua kena lempang dengan dia tiga kali berturut-turut. lempang bukan sebarang lempang. gua nampak elektrik biru dekat hujung mata. masa tu bibir gua pecah kena jahit.

kes hampir menjadi besar, tapi sekolah berjaya kawal situasi. bapak gua tak turun padang. gua segan nak telefon dia nak bagitau sebab gua tahu apa dia akan cakap nanti. dia akan cakap itu salah gua dan ternyata semasa gua telefon, benda itu yang dia cakap. masa tu mungkin jiwa remaja gua memberontak. tak boleh nak terima kesalahan diri. ego membuak-buak. dan akhirnya, gua sedar tindakan ustad rahman begitu pada gua sebab dia sayang gua. sebab dia nak gua jadi produk yang berfaedah pada negara. dan dimana gua berdiri sekarang, sebab pelempang melayu tu jugak. tak makan nasi sebulan siot.

ramai lagi guru-guru gua yang betul gua anggap guru. cikgu matematik gua, cik rohayu. badan kurus je beb, tapi rotan sentiasa ada kat tangan. agak-agak kuku panjang je kena sebat terus. tak pakai stokin pun kena sebat beb. kalau tak siap kerja rumah tak yah cakap lah. jalan itu pusing padang. agak-agak lagi kejam duduk bersila kat tengah-tengah bangunan sekolah dan siapkan kerja sambil diperhatikan semua orang.

dan hari ini, gua lihat cara anak-anak diberi didikan sungguh berbeza. tak perlu cari contoh jauh, gua tengok adik-adik kecil gua yang dimanjakan cukup. bukan gua nak salahlan peredaran zaman yang terlalu pantas berubah. tapi gua kesian dengan produk-produk hari ini yang semakin lembik. yang menggunakan air mata untuk membeli perhatian. yang menang dengan jerit-jerit kesakitan yang dibuat-buat.

gua kesian dengan ibu-bapa sekarang yang saman guru sebab rotan anak-anak diorang. gua kesian dengan anak-anak vip yang pergi sekolah dengan pengawal peribadi tunggu di pagar sekolah. gua kesian dengan anak-anak orang kaya yang bangga dengan harta ibu bapa mereka dan langsi dengan rakan-rakan sekelas yang hanya makan bekal yang dimasak oleh ibu mereka sendiri. biarlah anak-anak kecil ini. percayalah, jatuh bangun mereka kerana diri sendiri. ibu bapa hanya menyokong. bukan mendukung setiap waktu.

dan kalau bukan sebab ayah gua yang begitu, kalau bukan sebab ustad rahman bagi tempeleng sampai gua terus tak tinggal sembahyang. kalau bukan sebab cikgu rohayu rotan kalau gua datang kelas tak gosok baju, mungkin gua produk yang berlainan hari ini. dan terus dari hari ke hari, gua akan terus belajar. dari kawan-kawan, dari gadis-gadis sekelas, dari pensyarah-pensyarah ataupun dari budak-budak hip yang kayuh beskel fiksi.

1 comment:

Q said...

sangat comel balik kampung naik flight dengan adik masa umur 5 tahun.