merdeka diri

ternyala pendaflor itu,
entah dari mana suisnya.
terang,
tapi masih dimana suisnya.

seperti itu aku rasa merdeka.
masa darjah satu.

aku kibar bendera.
kerana guru kelas.

aku tahu merdeka itu gembira.
tapi siapa watak utama,
aku tak pernah rasa.

kemudian, darjah enam
aku di sebuah taman permainan.

datang seorang badut,
yang pada mula aku takut.

dia kata, mahu belon?
aku, angguk suka.
dihulur pada tangan.

lalu aku berlari keliling,
terlalu gembira.

lalu, aku lepaskan ia menjilat lelangit.
ahh, berahi sungguh waktu itu melihat
ia perlahan pergi.

aku tahu merdeka itu bebas,
sepertinya belon itu.
tapi mana arah tujunya,
tak pernah aku rasa.

tingkatan tiga.
aku rasa aku besar.
boleh pukul orang.

katanya,
penuh darah pahlawan.

anak-anak kecil aku jatuhkan,
aku suruh dia basuh baju.
aku suruh dia ambil nasi.

aku tahu merdeka itu pejuang.
tapi, apa yang aku laungkan.
dalam mimpi tanpa kelembutan.

ahh,
aku genggam tapak tangan ini.
dalam jijik sendiri,
aku carik lumpur pada muka.

tingkatan 5,
lagi jijik.
tak mahu cerita.
bukan malu,
cuma tak mahu.

dan hari ini.
dimana aku berdiri.
dimana aku sendiri.
bersama seketul hati.
yang tak pernah menyesal.

lalu aku khabarkan pada semua,
aku sendiri yang perlu merdeka.

kemudian,
baru sambut 7 laungan itu.

atau,
engkau hanya seperti
seekor kuda emas
yang sesat.

p/s- warnakan diri sendiri dahulu kemudian baru yang lain.