aku, saya dan gua.

salah satu didikan ayah aku adalah tidak menggunakan 'aku' dalam komunikasi harian. melanggar arahan dia seolah meminta bibir aku dijentik nanti. jadi, dalam perbualan aku dari kecil sehingga sekarang aku selesa menggunakan 'saya' tanpa sebarang masalah dengan sesiapapun. tapi dalam dunia penulisan 'aku' sangat sesuai kerana ia menyentuh pembaca dengan lembut tetapi garang. penggunaan 'gua' pula boleh dikatakan baru diguna pakai secara meluas dalam era bunkface ini.

dan dulu aku antara penulis yang cuba untuk mendekati pembaca dengan menggunakan 'gua'. aku ulang lagi sekali aku antara penulis yang cuba untuk mendekati pembaca dengan menggunakan 'gua'. dan aku masih ingat ada seorang pembaca perempuan yang kata salah satu artikel aku seolah-olah meniru gaya bahasa fdaussamad ataupun dikenali sebagai brader sembang kencang kerana hanya aku menggunakan 'gua' dalam penulisan artikel itu.

tanpa menganggap itu sebagai ancaman dalam karier aku, aku tidak memandang serius dalam teguran itu malah aku pilih hanya untuk berdiam diri tanpa sebarang penulisan bela diri. sekiranya gadis itu membaca tulisan aku kali ini, biar aku jelaskan aku menulis mengikut keselesaan. dan pemilihan 'gua' dalam penulisan adalah percubaan sahaja. seolah-olah 'test drive' perodua MyVi yang selalu tingkap cepat rosak sebelum terpaksa membeli kerana harga kereta lain terlalu mahal.

dan hari ini, aku rasa tempoh percubaan itu tamat. aku sudah dapat apa yang aku mahu. bagi aku, penggunaan 'gua' tidak ada masalah dalam penulisan. kalau hendak diikutkan 'sistem' perkataan 'gua' dirujuk sebagai bahasa pasar ataupun dalam erti kata lain tidak wujud dalam karangan pelajar tingkatan 5. aku bukan pejuang bahasa, tetapi aku mengamalkan konsep bebas dalam bahasa. bagi aku tatasusila seseorang lebih penting dari tatabahasanya.

aku sendiri percaya, bahasa tidak perlu dikongkong. tidak langsung perlu wujud soalan spm yang menyuruh calon mencari kesalahan bahasa. kerana bahasa itu wujud apabila ia digunakan oleh pengguna dan mesej yang disampaikan dapat difahami dengan nyata dan jelas oleh penerima. maka, jika aku mengggunakan 'gua' dalam karangan spm aku yang lepas aku pasti aku gagal kerana 'sistem' sedia ada sudah menetapkan 'gua' tidak ada dalam kamus mereka. tetapi bagi aku, langsung tidak akan timbul masalah kerana sesiapapun yang akan menanda kertas jawapan aku tetap akan faham maksud penggunaan 'gua' dalam karangan aku.

aku sedar aku sedang meletakkan sebelah kaki aku dalam kuali yang panas. tapi aku bukan si lembu yang hanya mahu hidup meragut rumput sambil hidung diikat tali dan ditambat di bawah pokok kelapa. menyuntik semangat Abdullah Munshi menulis menggunakan 'Aku' di kala Melayu dikenali sebagai bangsa yang sopan dah lemah lembut. begitu juga aku ingin berterima kasih kepada ayahanda aku yang mendidik supaya tidak menggunakan 'aku' dalam perbualan. tetapi ayah, dalam dunia penulisan ia lebih tajam dari pedang. dan sudah tentu pisau 'aku' tetap akan lebih tajam dari pisau 'saya' mahupun pisau 'gua'.

No comments: